اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى
مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحمَّدٍ
.
Luqman
Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang dari sisi Allah Yang Maha
Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati anaknya:.
1.
“Wahai anak kesayanganku! Allah SWT
memerhatikan dirimu dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau
tidur lena di belakang tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau
berasa ragu untuk melakukan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan
dan kekejian.”
2.
“Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah
SWT tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah SWT.
Takutlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa),
tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3.
“Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah
SWT (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah
satu kezaliman yang besar.”
4.
“Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaan-Nya. Orang
yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5.
“Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari
ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti
orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya,
padahal ia masih mahu menambahkannya.”
6.
“Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam,
banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan
karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya
ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7.
“Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima
nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang
insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa
menerima kemulian dari Allah SWT juga.”
8.
“Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang
tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu
adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9.
“Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah
SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10.
“Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta
manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya
seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11.
“Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah
dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam
kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau
mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12.
“Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia
yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13.
“Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa
yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa
yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
14.
“Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara
kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15.
“Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu
yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan
janganlah mensia-siakan hartamu.”
16.
“Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya
kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang
lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan
manusia, jagalah lidahmu.”
17.
“Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk
dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri.
Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi
orang lain.”
18.
“Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak)
sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19.
“Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak cerdik sebagai
utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja
yang layak menjadi utusan.”
20.
“Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam
dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21.
“Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang
jujur di sisi Allah SWT.”
22.
“Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu
mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja
berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23.
“Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan sesiapa
yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24.
“Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana yang
demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan
urusan.”
25.
“Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara takziah
orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati,
sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri
pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26.
“Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila
makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27.
“Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya barang
dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis
belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan
kesengsaraan.”
28.
“Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang terbaik
tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”
29.
“Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal
fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”
30.
“Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka
akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh
anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan
hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat
diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31.
“Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa
dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta
nasihat dari mereka.”
32.
“Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap ibu dan ayahmu
dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada
Yang Maha Berkuasa.”
33.
“Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu dan
ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun
perbuatan dibenci.”
34.
“Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang
kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”
35.
“Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat
dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT, dia akan
lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada
Allah SWT.”
36.
“Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana
tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa
banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37.
“Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam batu, pasti
ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala
sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38.
“Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula
itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.”
39.
“Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan
besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana
engkau mempunyai jiran yang jahat.”
40.
“Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku
tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”
41.
“Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu
malam.”
42.
“Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah bentangkan bagimu
apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang amat banyak?”
43.
“Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya
yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia
yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44.
“Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45.
“Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu
selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah SWT bukanlah
untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang
yang terpedaya dengan dunianya.”
46.
“Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti
engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya
yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47.
“Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang
belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”
48.
“Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan mati, lupakan
dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu terhadap
orang lain.”
49.
“Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWTlebih
mendekatkan diri daripada mulia dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa)
kepada-Nya. Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian
datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidAk memberitahukannya terlebih
dulu.”
50.
“Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami untuk berfikir
dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
semoga bermanfaat ya teman-teman :):)
BalasHapus